BAGAIMANA MENJADI IBU YANG BAIK?
Menjadi ibu yang bahagia adalah idaman semua ibu. Kita mahu jadi ibu yang sentiasa prihatin, mendengar, menjaga semua keperluan dan menjadi pelindung anak-anak. Namun ianya tidak semudah yang disangka.
Tuntutan hidup yang semakin mendesak menjadikan ibu kadang kala tertekan dengan rutin harian. Apabila ibu juga harus bekerja membantu keperluan ekonomi keluarga, kadang kala ibu rasa sudah kurang masa yang berkualiti dengan anak-anak.
APAKAH CARA MENJADI IBU YANG HEBAT DAN PENYAYANG?
Para ibu usahlah bersedih. Bekerja atau tidak, ia bukan penentu kejayaan kita mendidik anak-anak. Usahlah terlalu fokus kepada masalah sehingga kita lupa tanggungjawab sebenar kita sebagai seorang ibu. Apabila kita terlalu tertekan, kita akan selalu melihat kepada keburukan.
Dari situ kita akan suka membebel tentang perkara yang kecil. Anak akan mula rasa bosan apabila mereka selalu dileteri dan mereka mula mencari hiburan di luar. Rumah sudah tidak menjadi syurga.
Semoga tips bagaimana menjadi ibu yang baik dan sabar ini akan menjadikan kita lebih bahagia menjadi seorang ibu:
1. HARGAILAH ANAK
Kita lupa untuk menghargai apabila terlalu focus kepada keburukan anak. Contoh: Kita tidak melihat bahawa anak yang banyak bertanya itu adalah bagus.
Kita abaikan dia. Kita buat endah tidak endah. Sesekali hargailah dia dengan menjawab setiap persoalan. Pandang wajah dan mata mereka, tanda kita ikhlas dan menghargai mereka.
2. SENTIASA BERSYUKUR
Kadang kala tanpa kita sedar, kita sering mengadu yang kita penat bekerja. Apabila pulang ke rumah, sambung pula kerja membasuh, memasak dan sebagainya. Kita mengeluh dan berleter. Terlupa mahu bersyukur yang kita punya keluarga, ada suami dan anak-anak.
Kita terlupa untuk bersyukur, kita masih punya rumah untuk didiami. Semoga dengan rasa bersyukur ini akan menjadikan kita berlapang dada.
3. TIDAK MEMBANDINGKAN ANAK DENGAN ANAK ORANG LAIN ATAU ADIK BERADIK SENDIRI
Kita juga terlepas pandang tentang perkara ini. Kita sering membandingkan anak dengan harapan dia akan sedar dan berubah. Walhal itu cara yang salah untuk merubah seseorang anak.
Apabila sering membandingkan, anak akan rasa rendah diri dan malu kepada orang lain. Rasa yakin pada diri sedikit demi sedikit akan terhakis.
4. SENTIASA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH. JANGAN EGO!
Inilah perkataan magis yang selalu kita lupa untuk diucapkan kepada anak. Kita minta mereka buat itu dan ini, tetapi tiada ucapan terima kasih kepadanya. Ucapan terima kasih ini lah yang boleh mencairkan hati anak kita.
Ucapan ini jugalah yang boleh membuatkan hati anak rasa hormat dan kagum kepada ibu dan bapanya. Ini kerana ucapan ini bukan hanya diucapkan daripada mereka yang muda kepada yang tua. Bukan juga dari yang bawahan kepada pihak yang berkuasa.
5. YAKIN DENGAN KEBOLEHAN ANAK
Ramai di kalangan kita tidak yakin dengan kebolehan anak. Kadang kala tanpa kita sedar, kita merendahkan kebolehan mereka. Meyakini kebolehan mereka akan menaikkan semangat serta membuatkan anak akan berusaha lebih gigih lagi.
6. FORGIVE & FORGET
Sebagai ibu, amat penting untuk kita sentiasa memaafkan kesalahan anak. Memaafkan itu lebih melapangkan. Memaafkan itu lebih membahagiakan daripada kita terasa dan memendam perasaan.
Selepas itu kita melupakan dan tidak mengungkit lagi kesalahan anak yang telah lalu. Kita selalu memberikan mereka harapan dan berubah menjadi insane yang lebih baik.
7. BANYAKKAN MEMELUK, MENYENTUH DAN MENGUCUP ANAK
Anak yang sering memberikan masalah, apabila dimarahi dan dikasari, tidak akan merubah apa-apa. Jika mereka berubah sekalipun ia tidak akan bertahan lama. Anak yang sentiasa memberi masalah, cubalah didekati, sentuh dan peluklah mereka.
Hati mereka akan mudah disentuh. Mereka akan lebih mudah dinasihati dan ditegur. Begitu juga anak yang sakit. Berilah mereka semangat dan bantulah mereka untuk lebih cepat pulih dengan memeluk mereka. Bisikkan kata-kata yang baik kepada mereka.
8. AWARE & ALERT DENGAN KEADAAN SEKELILING & ISU SEMASA
Ibu yang bahagia adalah ibu yang sentiasa peka dan berhati-hati dengan keadaaan anaknya. Dia peka terhadap perkembangan semasa. Dia tahu apa yang perlu atau pun tidak kepada anaknya. Dia akan sentiasa mengingatkan dengan hikmah dan menegur dengan kasih sayang.
9. TIDAK MEMBIARKAN GAJET MENGAMBIL TUGAS KITA
Ibu tidak akan membiarkan anak-anak dikuasai gajet. Jangan jadikan gajet itu sebagai pengganti. Mereka memerlukan kita untuk meransang skil kehidupan mereka. Gajet hanya sumber hiburan yang hanya boleh digunakan pada waktu tertentu dan terhad sahaja. Ibu akan lebih bahagia apabila banyak meluangkan masa bersama mereka.
10. DOA, DOA DAN DOA UNTUK ANAK-ANAK
Bagaimana menjadi ibu yang baik untuk anak, jika tidak pernah berdoa untuk anak? Ketahuilah, bahawa doa itu adalah senjata yang terbaik. Doa ibulah doa yang mustajab. Doa ibu yang solehah pasti tidak akan ditolak oleh Allah. Berdoalah yang baik-baik untuk anak.
Hantarkan Al-Fatihah kepada mereka jika kita berjauhan daripada mereka. Mohon kepada Allah agar dijagakan mereka untuk kita.
AKHIR KATA
Semoga tips bagaimana menjadi ibu yang baik ini akan dapat memberi manfaat buat para ibu. Ingatlah, kecantikan seorang wanita terlihat bukan sahaja melalui rupa paras semata tetapi fungsinya kepada dunia iaitu;
1. Wanita yang menjadi anak, yang taat kepada ibu dan bapanya.
2. Wanita yang menjadi isteri, yang pandai mengambil hati suami.
3. Wanita yang menjadi ibu, yang berusaha mendidik anak-anaknya dengan baik
4. Wanita yang berusaha menjaga aurat dan kehormatan diri.
5. Wanita yang berjuang untuk agama Islam
6. Wanita yang mencintai Allah dan Rasulnya.
2. Wanita yang menjadi isteri, yang pandai mengambil hati suami.
3. Wanita yang menjadi ibu, yang berusaha mendidik anak-anaknya dengan baik
4. Wanita yang berusaha menjaga aurat dan kehormatan diri.
5. Wanita yang berjuang untuk agama Islam
6. Wanita yang mencintai Allah dan Rasulnya.